Tiga lelaki yang disyaki menyamun beberapa buah rumah dan kenderaan di sekitar Petaling Jaya ditahan dalam dua serbuan pada Selasa dan Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata suspek pertama ditahan ketika menaiki kereta di stesen minyak Jalan Klang Lama kira-kira 11.53 malam pada 7 Februari.

Beliau berkata penahanan itu membawa kepada tangkapan dua rakan suspek di Kampung Pasir Baru, Petaling Jaya pada keesokannya.

"Polis turut merampas kereta disyaki digunakan untuk menyamun selain beberapa telefon bimbit dan kad minyak dipercayai hasil kegiatan samun," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.

Katanya, kesemua suspek dipercayai terlibat dalam tujuh kes samun termasuk melibatkan seorang wanita berusia 51 tahun disamun di depan rumahnya di Jalan 22/53, Petaling Jaya pada Januari lepas, yang menjadi tular di media sosial.

Mohd Zani berkata suspek yang berumur antara 26 hingga 30 tahun itu direman selama tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. -- Bernama