KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-25 dalam pengukuran Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.

Bagi mencapai hasrat itu, SPRM menyeru semua pihak supaya meneruskan kerjasama dan memainkan peranan masing-masing.

"Di samping itu, semua pihak perlu mempunyai iltizam politik untuk menambah baik strategi pencegahan dan pengurusan tata kelola baik demi mencapai hasrat kerajaan untuk meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-25 dalam pengukuran CPI menjelang 2033," kata SPRM dalam kenyataan di sini, pada Selasa.

Transparency International-Malaysia (TI-Malaysia) pada Selasa melaporkan kedudukan Malaysia meningkat dari tangga 61 ke 57 dalam kalangan 180 negara yang dinilai.

Malaysia turut memperbaiki skornya daripada 47 ke 50, meningkat tiga mata setelah penurunan berturut-turut sejak 2019.

Menurut TI-Malaysia, antara sebab-sebab yang menyumbang kepada peningkatan skor adalah kerana siasatan, tangkapan serta sabitan kes-kes berprofil tinggi SPRM sepanjang tempoh dua tahun lalu.

Sehubungan itu, SPRM memberitahu, pihaknya komited dan bertekad untuk meneruskan usaha pencegahan dan operasi bagi menghapuskan gejala rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam bidang kuasanya sebagai agensi penguat kuasa tunggal yang diamanahkan untuk membasmi rasuah di negara ini.