KOTA BHARU: Pihak berkuasa Thailand mempertingkatkan kawalan keselamatan supaya pelancong Malaysia termasuk dari Kelantan berasa selamat ketika berkunjung ke negara Gajah Putih itu.

Timbalan Komander Polis Pelancong Thailand, Mejar Jeneral Phongsiam Meekhanthong berkata, antara langkah yang diambil termasuk pemeriksaan dan rondaan di destinasi-destinasi pelancongan utama di negara itu.

Menurut beliau, Thailand mencatatkan peningkatan kemasukan pelancong dari Malaysia lebih 20,000 setiap bulan selepas pandemik COVID-19.

“Mereka memilih untuk berkunjung ke Selatan Thailand seperti Songkhla, Bangkok dan Chiengmai.

“Demi keselamatan mereka, kami melakukan pemeriksaan berkala termasuk di pantai-pantai bagi memastikan para pelancong bukan sahaja Malaysia tetapi dari seluruh dunia yang berkunjung ke Thailand mematuhi peraturan seperti memakai jaket keselamatan dan menggunakan pemandu pelancong serta mengelak daripada kemalangan jalan raya,” katanya pada sidang akhbar selepas pertemuan dengan polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun; Komander Polis Divisyen 3 Polis Pelancong Thailand, Mejar Jeneral Krit Warit dan Timbalan Konsul Jeneral Marisa Indramangala.

Phongsiam berkata, pelancong asing yang berdepan sebarang kesulitan atau mempunyai pertanyaan boleh menghubungi pihaknya 24 jam.

Sementara itu, Muhammad Zaki berkata, seramai 91,000 pelancong Malaysia berkunjung ke Thailand melalui tiga pintu pemeriksaan utama di Kelantan sejak awal tahun ini.

“Dalam tempoh enam bulan itu juga, kira-kira 88,000 warga Thailand memasuki Malaysia melalui pintu sama.

“Tahun lalu, 157,000 rakyat Thailand memasuki Malaysia melalui Kelantan dan 131,000 rakyat Malaysia pula berkunjung ke negara itu,” ujar beliau. - Sinar Harian