Malaysia berazam untuk meneruskan usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 dengan kerjasama negara-negara rakan walaupun sehingga kini masih belum berhasil, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata misteri kehilangan MH370 tidak pernah berlaku dalam sejarah penerbangan dunia apabila sistem telekomunikasi pesawat dipadamkan dan kaedah pencarian untuk mengesan pesawat belum diguna pakai.

"Meskipun kita belum berhasil sehingga hari ini tetapi kerajaan berazam untuk meneruskan usaha pencarian dengan kerjasama rakan-rakan dari negara-negara lain terutamanya Australia yang menunjukkan komitmen luar biasa membantu Malaysia mencari pesawat yang dimiliki oleh kita," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini Isnin.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.