KEPALA BATAS: Mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadualkan malam ini dijangka akan membincangkan  persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Ahli MKT UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata selain itu, antara yang akan dibincangkan adalah persiapan menghadapi banjir.

“Malam ini perbincangan lebih kepada persiapan seandainya pilihan raya akan berlaku dan sedemikian juga kalau ada perkara berbangkit yang lain, termasuk soal membabitkan banjir.

“Sebab itu saya dah cakap kita dalam parti UMNO ini kita  bersiap sedia dalam dua perkara, dua keadaan iaitu PRU dan banjir kita kena bersiap sedia. Kita akan turun ke kawasan kalau tuntutan perlembagaan itu memerlukan kita turun, (bantu) itu pun sama kalau seandainya berlaku banjir,” katanya.

BACA: PM Ismail Sabri umum Parlimen dibubar, beri laluan kepada PRU15

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat khas MKT UMNO, malam ini.

Mengenai kesiapsiagaan menghadapi musim banjir beliau berkata, UMNO di semua peringkat sudah membuat persediaan rapi termasuk juga pasukan bomba.

Reezal Merican yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ditemui ketika Majlis Sambutan Maulidur Rasul Parlimen Kepala Batas di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas, Pulau Pinang pada Isnin.

Media melaporkan UMNO akan mengadakan mesyuarat khas parti berkenaan malam ini dipercayai bagi memperinci persiapan PRU15 dan memuktamadkan bentuk kerjasama dengan Pas.

Panggilan mesyuarat itu disahkan melalui satu surat yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bertarikh 7 Oktober.

Terdahulu, semasa majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Kepala Batas, Ahli Parlimen itu turut menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada 37 buah masjid dan RM2,000 kepada 76 buah surau di dalam Parlimen Kepala Batas.