Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dianaktirikan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali berdasarkan aduan dan rungutan daripada keluarga dan kakitangan jabatan agama itu sendiri.

Ketua Penerangan UMNO Selangor Datuk Zein Isma Ismail, beberapa peraturan yang dibuat Kerajaan Negeri termasuk memotong elaun dan kerja lebih masa yang tidak dibayar dan digantikan dengan cuti menimbulkan kegelisahan di kalangan pekerja JAIS.

"Saya sendiri mendengar rungutan dan aduan oleh orang ramai dan daripada beberapa kakitangan JAIS yang ternyata amat terkilan dengan tindakan Kerajaan Negeri memotong peruntukan bagi pejabat agama sehingga menyukarkan mereka untuk melaksanakan tugas.

"Bahkan hari ini tiada lagi bayaran kerja lebih masa terutama bagi penguatkuasa yang membenteras maksiat yang bertugas melebihi masa sehingga ke malam hari, sebaliknya hanya diberikan cuti sebagai ganti.

"Begitu juga dengan sikap kerajaan negeri yang acuh tidak acuh dengan sebarang cadangan dan usaha penambaikan pejabat agama," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

BACA: Alasan Pas bantah 'Better Beer Festival 2017' lemah - Bastien

BACA: 'Ada militan rancang sabotaj 'Better Beer Festival' - Polis

Mengulas lanjut Zein menjelaskan, lebih 6,900 guru KAFA yang dijanjikan pada PRU13 leaps akan diserap ke jawatan tetap kini masih menanti janji Kerajaan Negeri seolah-olah menunggu buah yang tidak gugur.

"Lebih membimbangkan apabila kuasa politik mencengkam pelaksanaan agama apabila ada beberapa fatwa mufti Kerajaan Negeri Selangor yang tidak diwartakan oleh kerajaan negeri, kerana bertentangan dengan dasar dan prinsip pentadbiran Azmin.

"Bahkan masjid juga kini kembali dijadikan tempat berpolitik bukan sahaja dari sudut ceramahnya malah pemilihan AJK Masjid juga sudah dicaturi oleh 'tangan-tangan ghaib' yang bermotifkan kepentingan politik," ujarnya.

Tegas Zein, inilah natijahnya apabila rakyat Selangor khususnya umat Islam berada di bawah pemerintahan dan pentadbiran Pakatan Harapan yang dikuasai DAP.

"Apa guna kita ada Menteri Besar dalam kalangan orang Melayu tetapi tidak dapat membela dan memberi sokongan terhadap usaha-usaha menegakkan syiar Islam yang dilakukan JAIS?

"Sebab itu saya menyeru orang Melayu dan umat Islam sedar, syiar Islam tidak akan ke mana dan bimbang ianya semakin layu di bumi Selangor yang berada di bawah pentadbiran sebuah kerajaan yang dkuasai DAP.

"Saya menyeru umat Islam di Selangor untuk merenung kembali, sepanjang Azmin menjadi Menteri Besar, apa agenda Islam yang dijadikan sebagai dasar dalam pentadbirannya?" soalnya.

Tegasnya, isu Better Beer Festival 2017 juga sudah cukup untuk membuktikan bahawa Azmin tidak mampu untuk menghalang pesta tersebut di atas kapasitinya sebagai Menteri Besar.

"Apa yang jelas, siapa saja Menteri Besar atau Ketua Menteri, atau Perdana Menteri sekalipun akan tunduk kepada agenda DAP yang merupakan parti terkuat di dalam Pakatan Harapan.

"DAP sudah tentunya tidak begitu berminat di dalam soal-soal berhubung sebarang usaha penambahbaikan dan pelaksanaan dasar-dasar pentadbiran Islam dan hanya akan dipandang sebelah mata sahaja oleh mereka," tegasnya.