BRITAIN mengesahkan menerima lebih 8,000 tawaran pembekalan daripada syarikat pengeluar peralatan perlindungan diri (PPE) namun terpaksa menolak sebilangan besar daripada mereka.

Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock pada Selasa berkata, sebahagian syarikat terbabit tidak mempunyai kapasiti menghasilkan peralatan kesihatan itu dalam skala yang besar.

"Kami menerima 8,331 tawaran menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) dan sedang meneliti latar belakang dan kemampuan mereka.

"Sekarang sudah tentu, beberapa syarikat telah mula membeli bahan (pembuatan) dengan banyak, namun realitinya tidak semua mereka yang membuat tawaran dapat menghasilkan PPE yang dikehendaki pada skala besar.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang telah tampil dan kami akan bekerjasama dengan ribuan daripada syarikat ini. Buat masa ini, saya dapat umumkan bahawa kami sudah bekerjasama dengan 159 pengilang di UK untuk memulakan operasi (penghasilan PPE),” katanya.

Beliau menzahirkan penghargaan kerana terdapat banyak syarikat di UK yang tampil untuk membantu namun menegaskan terdapat juga permintaan dana daripada syarikat yang baru membentuk perniagaan.

Pengumuman itu sejurus selepas laporan mengenai hospital dan pusat perubatan di seluruh negara kekurangan bekalan PPE dikeluarkan.

Dalam pada itu, Hancok juga menafikan terdapat keputusan politik untuk UK tidak mengambil bahagian dalam Skim Kesatuan Eropah (EU) untuk mendapatkan peralatan perlindungan kesihatan.

Sebelum ini, Pegawai Pejabat Menteri Luar mengeluarkan kenyataan dan memberi bukti kepada Jawatankuasa Parlimen, menyatakan UK membuat keputusan politik untuk tidak terlibat dalam Skim EU walaupun dibenarkan berbuat demikian setelah keluar daripada EU.

Namun Hancok menjelaskan, beliau menerima undangan Skim EU itu tetapi mendapati UK tidak menerima sebarang peralatan PPE daripada inisiatif tersebut.

UK kini mempunyai 130,172 kes positif dan 17,378 kematian akibat COVID-19.