Pihak berkuasa Algeria telah menyekat Facebook, Twitter, dan beberapa laman media sosial buat sementara waktu, lapor media tempatan pada Ahad.

Sekatan sementara itu bertujuan menghalang mana-mana pihak memuat naik soalan bocor bagi peperiksaan sekolah menengah di negara tersebut, lapor Reuters.

Kira-kira 10,000 pelajar dilaporkan terpaksa menduduki semula peperiksaan selepas beberapa butiran soalan bocor di laman sosial.

“Sebahagian petikan yang dikongsi di laman sosial berkaitan dengan peperiksaan yang diduduki pada hari Ahad,” ujar Menteri Komunikasi dan Teknologi Maklumat, Houda-Imane Faraoun.

Menurutnya lagi, sekatan tersebut juga bertujuan untuk melindungi para pelajar daripada sebarang soalan palsu yang juga tersebar.

Pihak berkuasa tempatan turut mengesahkan beberapa individu termasuk pegawai pejabat pendidikan dan pekerja syarikat percetakan bagi membantu siasatan.