Pasukan Petugas Khas masih dalam proses melengkapkan siasatan berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, siasatan tersebut hanya akan selesai selepas semua keterangan saksi dirakamkan serta dokumen berkaitan diperoleh.

"Memandangkan kes ini melibatkan ramai saksi dan dokumen yang banyak termasuk yang berada di luar negara maka tiada jangka masa ditetapkan untuk menyelesaikannya," kata Nancy menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Zainuddin Ismail (BN-Jelebu) yang meminta Perdana Menteri menyatakan apakah status terkini kedudukan Pasukan Petugas Khas yang ditubuhkan oleh Jabatan Peguam Negara bagi menyiasat kes 1MDB dan bilakah pasukan ini dijangka dapat menyiapkan laporan mereka.

Selain itu, Zainuddin turut bertanyakan sama ada kerajaan bercadang untuk membentangkan ke Parlimen hasil laporan tersebut.

Jelas Nancy, hasil siasatan Pasukan Petugas Khas akan dikemukakan kepada Peguam Negara untuk tuindakan selanjutnya.

Berkaitan siasatan 1MDB, hari ini bekas presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sekali lagi hadir bagi memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Keputusan tersebut diambil selepas PAC mendapati masih ada beberapa maklumat yang perlu dimaklumkan kepada jawatankuasa terbabit sebelum Presiden dan CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berdepan PAC bagi memberi keterangan.

Arul Kanda dijadual memberi keterangan kepada jawatankuasa tersebut esok.