MARANG:Mayat seorang lelaki hampir reput dijumpai terdampar di pantai Pulau Kekabu, Marang pada Sabtu.

Mayat tanpa identiti itu dijumpai beberapa pengunjung kira-kira jam 3.30 petang selepas terhidu bau busuk.

Menurut seorang pengunjung, dia yang mengesan 'objek terapung' tersebut pada mulanya menyangka ia adalah anak patung.

“Kami sedang berkelah di sini, selepas itu kami nampak seperti ada benda terapung.

“Kami ingatkan ia anak patung yang hanyut, namun selepas lima minit objek itu menghampiri pantai.

“Selepas itu suami saya memberitahu ia adalah mayat,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Md Dris berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan selepas menerima maklumat kejadian tersebut.

Beliau percaya, mayat hampir reput itu hanyut dari laut sebelum dinaikkan ombak ke tepi pantai.

Mayat itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.