Mayat seorang lelaki yang hampir reput ditemui tergantung di sebuah rumah flat Taman Desa Permai Indah, Sungai Dua di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata lelaki tanpa identiti itu ditemui dengan tangan diikat ke belakang serta kesan jerutan di leher.

Menurutnya, penemuan lelaki berusia lingkungan 30-an itu dibuat berdasarkan aduan seorang lelaki yang terhidu bau busuk dari rumah berkenaan kira-kira 6 petang tadi.

"Sepasukan polis yang pergi ke rumah di tingkat empat flat itu menemui mayat lelaki lengkap berpakaian seluar pendek dan kemeja-T di ruang tamu rumah berkenaan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini malam ini.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan awal, polis percaya lelaki itu mati lebih daripada seminggu berdasarkan keadaan mayatnya.

"Berdasarkan siasatan polis, rumah itu memang tiada penghuni dan ia dijadikan tempat lepak sekumpulan lelaki di kawasan flat berkenaan," katanya.

Mior Faridalatrash berkata, mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan pihaknya akan menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kejadian berkenaan.

"Kami juga meminta kerjasama orang ramai yang kehilangan anggota keluarga untuk tampil membuat pengecaman di HPP bagi membantu siasatan," katanya.