Kehilangan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak, Kota Samarahan sejak Isnin lalu akhirnya selesai.

Memetik laporan, Norashikin Shariffidin, 34, ditemui dalam keadaan selamat di Jalan Tun Jugah, Kuching, 3.45 petang semalam oleh anggota polis dari Balai Polis Sekama ketika menjalankan rondaan rutin.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Superintendan Lee Chong Chern ketika mengesahkan perkara itu berkata, pensyarah terbabit turut menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan memaklumkan keadaannya.

“Dengan penemuan pensyarah terbabit, dengan keadaannya dilaporkan selamat, kita menganggap kes kehilangannya sebagai sudah selesai.

“Bagaimanapun, kita sedang mengenalpasti punca sebenar kehilangannya sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, di sini.

BACA: "Pulanglah Norashikin, kami rindu" - Rayu keluarga pensyarah UiTM

Kehilangan Norshikin tular di laman sosial sejurus laporan dibuat oleh rakan setugasnya, Isnin lalu, selain meminta warga netizen membantu mengesan pensyarah berkenaan.

Chong Chern berkata, pada Isnin lalu, wanita terbabit bersama rakan sekerjanya meninggalkan kawasan kampus 5.50 petang menaiki kereta masing-masing.

“Rakannya pulang ke rumah di Desa Ilmu Apartmen, manakala pensyarah itu pulang ke rumah di Merdang Gayam.

“Pada hari yang sama sekitar 8 malam, dia gagal menghadiri mesyuarat UiTM. Rakan serumahnya memberitahu pada pagi Rabu, dia menjenguk ke bilik tidur Norashikin tetapi dia tidak berada dalam biliknya.

“Kelihatan komputer riba milik berada di atas katil, manakala kereta miliknya jenis Perodua Myvi bernombor pendaftaran AJL4484juga tiada di perkarangan rumah,” katanya.

Lebih membimbangkan apabila panggilan ke telefon bimbitnya tidak dijawab.

“Bimbang dengan keselamatan dan sesuatu telah berlaku rakannya bertindak membuat laporan polis,” katanya.