Rangka seorang lelaki yang dipercayai dibunuh dijumpai dalam semak berhampiran sebuah kilang di Jelapang, dekat sini, pagi Rabu.

Pemeriksaan pada baju si mati terdapat kesan koyak (tikaman) di bahagian kiri perut.

Turut dijumpai ialah sebilah pisau potong sayur pemegang berwarna hitam berukuran kira-kira 20cm di belakang badan mangsa.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, tempat kejadian terletak kira-kira 50 meter dalam semak belukar dan tiada bangunan terdekat di sekeliling.

“Mayat ditemui dalam keadaan rangka tetapi berpakaian, hasil pemeriksaan dapati butiran lesen memandu dan kad pengenalan dalam poket mangsa,” katanya di sini, pada Rabu.

Menurut beliau, berdasarkan kepada semakan, mangsa yang berumur 46 tahun belum berkahwin, alamat menetap di Selayang Baru, Batu Caves dan mempunyai dua beradik.

“Patologi hadir ke tempat kejadian dan memberitahu simati telah mati lebih dari seminggu. Pemeriksaan pasukan K9 IPK Perak tidak menjumpai apa-apa yang mencurigakan,” ujarnya.

Menurut Mohd Ali, kawasan kejadian tidak diliputi kamera litar tertutup (CCTV) dan setakat ini tiada saksi kejadian dikenal pasti.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.