Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara Tommy Thomas bagi mengadakan perbincangan berhubung penangguhan prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya diadakan semalam.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata pertemuan dengan Tommy mengenai penangguhan prosiding akan dilakukan dengan kadar segera.
“Lanjutan daripada perbincangan tersebut, PAC akan mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara secepat mungkin bagi membincangkan perkara mengenai penangguhan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan media itu, Ronald memberitahu, penagguhan prosiding 1MDB adalah atas cadangan yang dibuat Pejabat Peguam Negera menerusi sebuah surat bertarikh 25 Oktober.
“Saya menerima surat daripada Tuan Tommy Thomas Peguam Negara pada 25 Oktober 2018 Khamis yang memberi pandangan bahawa kepada PAC menangguhkan sine die prosiding berkaitan dengan 1MDB.
“Selepas mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen PAC saya dan ahli PAC mengadakan pertemuan dengan YYang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof untuk memaklumkan perkara itu,” katanya.
Bagaimanapun dalam kenyataan PAC itu tidak dinyatakan apakah alasan penangguhan oleh Peguam Negara.

BACA: PAC tangguh prosiding Ambrin buang berkenaan 1MDB

BACA: Prosiding PAC mengenai 1MDB berlangsung Isnin
Minggu lepas, Ronald berkata prosiding 1MDB sepatutnya bermula pada Isnin lepas dengan saksi pertamannya bekas ketua audit negara Tan Sri Ambrin Buang.
Semalam PAC telah mengeluarkan kenyataan menyatakan prosiding 1MDB dibatalkan .