Pemuda MIC berharap pembaharuan perkhidmatan awam akan diteruskan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak selain dapat melihat kepelbagaian yang lebih besar dalam kalangan jawatan tertinggi perkhidmatan awam.

Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, ia juga akan meningkatkan keyakinan dalam kalangan kaum India kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib bahawa mereka akan diberi ganjaran dan diiktiraf di atas perkhidmatan mereka kepada kerajaan.

"Pemuda MIC turut menyeru lebih banyak kaum India di negara ini mengambil kesempatan yang ada untuk menyertai perkhidmatan awam.

"Di bawah kerajaan Datuk Seri Najib, mereka mendapat keyakinan bahawa tiada halangan dan sentiasa ada jalan untuk mereka mencapai kedudukan tertinggi di agensi masing-masing.

"Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) adalah bukti bahawa masa depan boleh menjadi lebih cerah untuk komuniti India ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BACA: Masyarakat India tersisih jika Dr M kembali semula

BACA: Pelan Induk Masyarakat India hak masyarakat India - Dr Subramaniam

Jelasnya, orang India dan rakyat negara ini juga harus melihat kembali setiap usaha kerajaan selama ini dalam penyediaan lebih banyak peluang dalam kerjaya dan kemudahan dalam perkhidmatan awam akan lenyap sama sekali jika mereka memilih pemimpin salah.

Tambahnya, jasa Datuk Seri Najib harus dilihat sebagai pemimpin yang telah meningkatkan jumlah orang India dalam perkhidmatan awam.

"Pada minggu lepas, Narinder Singh, pegawai tertinggi India di Jabatan Penjara Malaysia, telah lantik sebagai Pesuruhjaya Penjara.

"Narinder telah membuktikan keupayaan dan sanjungan tinggi Kerajaan kepada penjawat awam India, sekali gus menjadi tanda aras terbaik di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib.

"Pelantikan Narinder adalah sejarah besar dan kebanggaan untuk komuniti India," ujarnya.

Dalam pada itu kata Sivarraajh, pada tahun lepas, pelantikan Datuk Subromaniam Tholasy sebagai Ketua Pengarah Kastam menjadi bukti pengiktirafan pentadbiran Datuk Seri Najib kepada kaum India.

"Pada 2016 juga, Datuk Seri Najib sudah membuktikan penghargaannya kepada kaum India dengan pelantikan Datuk A Thaiveegan sebagai Ketua Polis Pulau Pinang (CPO) dan juga Datuk Amar Singh sebagai pengarah Sikh pertama untuk Jabatan Jenayah Komersial (CCID) di Bukit Aman.

"Pelantikan ini adalah hasil dan petunjuk bahawa perkhidmatan awam di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib sentiasa komited untuk memberi penghargaan kepada rakyat Malaysia yang setia dan mampu berdasarkan merit, tanpa mengira bangsa atau agama," jelasnya.

Katanya lagi, orang India di negara ini telah berkhidmat kepada kerajaan dan negara selama beberapa dekad dengan cemerlang namun tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya semasa tempoh pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

"Orang India di negara ini terutama kakitangan awam juga harus berwaspada terhadap tawaran palsu yang dijanjikan Dr Mahathir untuk kembali sebagai Perdana Menteri," tegasnya.