Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila Toyota Avanza dipandu terlibat dalam kemalangan dengan seekor gajah di Batu 8, Jalan Mawai ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sedili, malam semalam.

Mangsa, Mohd Khairul Abdul Karim, 33 berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam di mana kereta dipandunya tidak sempat mengelak lalu terlanggar kaki salah seekor sekawan gajah yang berada di tengah jalan.

"Saya tak nampak kehadiran sekawan gajah yang dianggarkan antara tiga dan empat ekor kerana jalan ketika itu gelap saya pula menggunakan lampu rendah masa tu.

"Selepas melanggar kaki seekor gajah saya panik lalu segera keluar daripada kenderaan kerana bimbang diserang gajah berkenaan walaupun gajah terbabit menuju ke dalam hutan berhampiran,"katanya.

Bagaimanapun, katanya, gajah berkenaan kemudiannya datang kembali ketika dia sedang menghubungi isterinya untuk dapatkan bantuan perubatan.

"Tak sangka ketika kami sedang menunggu kehadiran ambulans, sekawan gajah yang sama berpatah balik ke arah kereta saya, lalu memijak kenderaan hingga remuk di bahagian hadapan sebelum melarikan diri ke hutan semula,"katanya.

Bapa kepada empat anak berkata ekoran kemalangan itu menyebabkan dia mengalami cedera di bahagian muka kiri membabitkan pipi, bibir dan kelopak mata hingga menerima 20 jahitan akibat hentakan.

Dia yang bekerja dengan Felda turut meluahkan rasa syukur kerana sempat menyelamatkan diri setelah melanggar gajah berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

"Disahkan kejadian berlaku kira-kira jam 10.20 malam di Batu 8 Jalan Mawai di mana kenderaan mangsa melanggar seekor gajah yang melintas di jalan secara tiba-tiba bersama tiga ekor gajah lain,"katanya.