Seorang lelaki warga Bangladesh ditemui mati ditikam di Pulau Gadong, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, mangsa yang berusia dalam lingkungan 40-an itu ditemui dalam keadaan terlentang dengan perut hampir terburai bersama kesan dikelar di leher kanannya.

Mayat mangsa yang bekerja di kebun sayur sekitar kawasan tersebut ditemui kira-kira 60 meter dari rumah yang dikongsi bersama seorang warga Nepal.


“Kita melihat ada kesan luka hirisan pada bahagian abdomen sebelah kanan dan leher kanan. Hasil siasatan awal pihak polis menklasifikasi kes kini disiasat di bawah sekyen 302 Kanun Keseksaan,” kata Abdul Adzis.

Katanya lagi, mangsa dipercayai dibunuh dengan menggunakan senjata tajam dan sehingga kini pihak polis masih belum menemui sebarang barang bukti.

Susulan itu, rakan serumah mangsa yang berumur 30-an ditahan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.

Polis juga meminta mana-mana saksi yang terlihat kejadian untuk tampil ke balai polis berhampiran untuk memberikan maklumat.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.