Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini mengharap simpati rakan kerjasama untuk memberikan mana-mana kerusi agar parti berkenaan boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap menerusi permuafakatan terbaharu PPBM dengan Pakatan Harapan, hasrat itu dapat dicapai.

"Sebagai parti baharu, kita belum ada kerusi lagi. Jadi kita minta tiga kawan sebelah saya (merujuk kepada PKR, DAP dan AMANAH) menimbangkan untuk beri ruang.

"Kalau tidak, tidak akan ke mana muafakat ini, kalau kita hanya membantu setengah pihak dan tidak boleh beri bantuan dari segi sokongan dan kawasan-kawasan yang kita boleh menangi.

"Sebab itu, saya harap hasil rundingan, beberapa kerusi baharu yang akan diagihkan kepada kita, dan itu kita akan gunakan, In Sha Allah," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memerandum persefahaman antara Pakatan Harapan dan PPBM di sini, hari ini.

BACA: PPBM jalin kerjasama dengan Pakatan Harapan

Menurut Muhyiddin, rundingan bersama parti Pas masih diteruskan.

"Mereka (Pas) telah menyuarakan kesediaan untuk berbincang dan berunding bersama kami. Ini adalah satu petanda yang baik.

"Sebagai parti baharu, kami mahu bekerjasama dengan semua parti politik, tetapi hasil daripada perbincangan itu masih belum diputuskan.

"Jadi kami sedang mengambil langkah satu demi satu. Biarlah kami meneruskan perbincangan sehingga menemui satu keputusan kelak," katanya.

Pas sebelum ini menyatakan dengan jelas tidak akan bekerjasama dengan PPBM jika mereka menyertai Pakatan Harapan kerana parti Islam itu menganggap DAP dan Amanah sebagai musuh mereka.