ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Ahad, 31 Januari 2021.

1) COVID-19: Thailand terus catat tiga angka bagi kes baharu harian

Thailand terus mencatat tiga angka bagi kes baharu harian COVID-19 selepas pihak berkuasa negara itu meningkatkan langkah pengesanan kes aktif di wilayah Samut Sakhon di mana penularan semasa pandemik tersebut bermula.

2) Johor minta kerajaan Pusat teruskan inisiatif laluan hijau dengan Singapura

Johor mencadangkan agar inisiatif laluan hijau timbal balik (RGL) membabitkan Malaysia dengan Singapura diteruskan walaupun republik itu menggantung kebenaran rentas sempadan dari negara ini.

Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohammad, berkata ia bagi membolehkan perkembangan ekonomi termasuk industri dan pelaburan di Johor terus berlangsung ketika menghadapi pandemik COVID-19.

3) Begini sekali perbuatan manusia? Tasik sampah di Serbia ini boleh terjadi di mana-mana

Dua buah bot pengangkut tidak henti berulang alik meredah permukaan luas sampah-sampah terapung di tasik buatan Potpecko di Serbia pada Jumaat lalu.

Reuters melaporkan, bot-bot itu berfungsi mengumpulkan seberapa banyak sampah sarap yang hampir menyumbatkan struktur empangan di situ.

4) Leka muat naik aktiviti santai di media sosial dalam jam bekerja, guru-guru di Indonesia ditegur

Kalau di Malaysia sedang hangat isu guru-guru yang berdepan banyak kesulitan menjayakan misi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dengan pelbagai keterbatasan, lain pula ceritanya di negara seberang apabila melibatkan tenaga pengajar.

5) COVID-19: Presiden Perancis pertahan keputusan tidak 'lockdown' walau gelombang ketiga melanda

Presiden Perancis Emmanuel Macron pada Sabtu mempertahan keputusannya untuk tidak melaksanakan sebarang sekatan pergerakan yang ketiga, dengan mengatakan bahawa beliau mempercayai rakyat negara itu mampu menjaga diri daripada dijangkiti COVID-19.

6) Sindiket Bulgaria promosi kualiti dokumen palsu, tunjuk contoh pasport Sylvester Stallone

Anda hendak dokumen apa dan jadi siapa? Kami boleh buat.'

Mungkin itu yang dibanggakan sekumpulan sindiket pemalsuan dokumen di Bulgaria, yang terbongkar selepas tertangkapnya empat warga negara itu kerana dipercayai terlibat dalam agenda jenayah terancang.

7) Dua peguam Trump tarik diri menjelang perbicaraan mahkamah Februari depan

Peguam, Butch Bowers dan Deborah Barbier dilaporkan telah menarik diri daripada pasukan peguam yang mewakili Donald Trump dalam perbicaraan pendakwaan bekas Presiden Amerika Syarikat itu.

8) Ujian klinikal terbaharu cetus kebimbangan koronavirus mampu pintas keberkesanan vaksin

Ketika dunia mengharapkan penawar kepada vaksin COVID-19, kajian terkini pula memperlihatkan sesuatu yang amat dibimbangi seluruh pelusuk masyarakat dunia.

Data klinikal terbaharu menunjukkan vaksin COVID-19 dikesan kurang efektif di Afrika Selatan berbanding negara-negara lain yang telah menjalani ujian vaksin sama.

9) Virus Nipah berpotensi jadi pandemik seterusnya - Laporan

Ketika dunia masih bergelut dengan COVID-19, virus Nipah pula dilaporkan berpotensi menjadi pandemik seterusnya, bermula di China.

Kadar kematian akibat wabak Nipah diramal sehingga 75 peratus, lapor The Guardian.

10) Britain buka permohonan visa kepada warga Hong Kong

Jutaan visa ditawarkan kepada warga Hong Kong (HK) untuk menetap di Britain menerusi sistem baharu yang diperkenalkan mulai hari ini.

Ia susulan tindakan keras China ke atas warga HK ekoran protes besar-besaran yang bertukar ganas tahun lepas.