ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 5 Februari 2021.

1. Indonesia dan Malaysia pandang serius rampasan kuasa di Myanmar - Jokowi

Indonesia dan Malaysia memandang serius perkembangan terkini di Myanmar selepas penahanan pemimpin Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) oleh junta tentera negara itu.

2. Pengambilan tenaga kerja Indonesia berlandaskan undang-undang sedia ada - PM

Pengambilan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) ke Malaysia kekal berlandaskan kepada undang-undang negara sedia ada.

3. Hubungan rapat Malaysia-Indonesia berpengaruh dalam memastikan ASEAN terus mampan - Penganalisis

Hubungan bersejarah dan rapat antara Malaysia dan Indonesia, serta pengaruh besar dua negara jiran berkenaan dalam ASEAN, memungkinkan Jakarta dan Putrajaya mengetuai inisiatif yang besar dan penting dalam rantau ini.

4. Malaysia-Indonesia bincang Laluan Hijau Timbal Balik - PM

Malaysia-Indonesia telah memulakan perbincangan awal di peringkat kerja berhubung Laluan Hijau Timbal Balik (Reciprocal Green Lane) bagi perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

5. Malaysia-Indonesia perlu meterai MoU baharu berkenaan pekerja domestik - Jokowi

Malaysia dan Indonesia perlu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang baharu berkaitan penempatan dan perlindungan pekerja domestik Indonesia di Malaysia.

6. Isu politik Myanmar: Menteri Luar Malaysia, Indonesia diberi mandat adakan Mesyuarat Khas ASEAN

Menteri Luar Negeri Malaysia dan Indonesia diberikan mandat untuk mencari kesepakatan untuk mengadakan Mesyuarat Khas ASEAN berhubung pergolakan politik yang berlaku di Myanmar.

7. AS bakal tambah had kemasukan pelarian

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Khamis berkata akan meningkatkan segera had kemasukan pelarian ke negara itu selepas presiden sebelumnya berusaha untuk menurunkan angka tersebut.

8. Trump tidak akan beri keterangan - Pasukan peguam

Pasukan peguam bekas Presiden Donald Trump pada Khamis menolak permintaan untuk anak guamnya memberi keterangan pada perbicaraan pendakwaan oleh Senat.

9. COVID-19: Rakyat Malaysia berusia 43 antara 22 kes import di Singapura

Seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 43 tahun adalah antara 22 kes baharu import COVID-19 yang dilaporkan di Singapura pada Khamis, demikian menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

10. AS pertimbang kenakan sekatan atas Myanmar

Pentadbiran Presiden Joe Biden sedang meneliti kemungkinan mengeluarkan satu perintah eksekutif baharu susulan rampasan kuasa di Myanmar.