Ketamakan majoriti syarikat rangkaian telekomunikasi yang mementingkan keuntungan dan terus menindas pengguna seumpama mensabotaj usaha kerajaan pada hari pertama pelaksanaan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Pengerusi Biro Media Sosial, Exco Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak.

Menurutnya dalam satu kenyataan media hari ini, kerajaan telahpun memberitahu syarikat-syarikat rangkaian telekomunikasi untuk tidak mengenakan GST di kad-kad pra-bayar.

“Pengguna perlu tahu bahawa sebelum ini kad pra-bayar mempunyai elemen cukai perkhidmatan sebanyak 6 peratus atau dengan maksud lain, harga kad prabayar adalah termasuk dalam cukai perkhidmatan,” ujarnya yang menggesa harga jualan kad prabayar dikekalkan.

Ibdilillah mempersoalkan tindakan syarikat-syarikat itu menaikkan harga dan mengelak daripada membayar cukai perkhidmatan 6 peratus sebaliknya memindahkan beban membayar cukai itu kepada pengguna.

“Adakah ini satu tindakan sabotaj oleh syarikat-syarikat telekomunikasi ke atas kerajaan? Syarikat-syarikat ini bersikap tidak jujur dengan mengambil kesempatan ke atas pengguna. Apa yang utama bagi mereka ialah keuntungan berlebihan tanpa menghiraukan nasib pengguna?” tanya Ibdilillah.

Klik untuk segala berita mengenai GST

Beliau menyarankan pengguna mempertimbangkan tindakan boikot ke atas syarikat rangkaian telekomunikasi yang hanya mementingkan keuntungan berlebihan selain menggesa perkara itu segera diberi tumpuan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)dan Kastam.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu kad tambah nilai dikenakan GST dibawa kepada Kastam