KOTA KINABALU: Dua kluster baharu dikesan di Sabah hari ini melibatkan jangkitan di tempat kerja serta aktiviti kunjung-mengunjung semasa sambutan Aidilfitri lalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kluster-kluster tersebut melibatkan daerah Telupid, Sandakan dan Tawau.

Kes indeks bagi Kluster Gambaron, Telupid merupakan seorang lelaki berumur 32 tahun yang bergejala demam, batuk dan sesak nafas sejak 26 Mei, sebelum disahkan positif pada 2 Jun.

“Saringan susulan mendapati lapan kes di tempat kerja (Kg Gambaron) serta sekitar daerah Telupid dan satu  lagi kes di Sandakan.

“Berdasarkan siasatan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri perjumpaan sosial bersama kontak pada 22 Mei di sebuah kafe di Telupid,” katanya.

Selain itu, penularan kes juga disumbang oleh beberapa rakan sekerja kes indeks yang telah pulang ke kawasan berisiko tinggi (Tawau) untuk menyambut hari lebaran pada 7 hingga 16 Mei.

Seramai 136 individu telah disaring, di mana 12 daripadanya didapati positif COVID-19.

“Kluster Kg Blok 31, Tawau berlaku ekoran aktiviti kunjung-mengunjung semasa sambutan Aidilfitri.

“Kluster ini mula direkodkan apabila kes indeks, suri rumah, 71, disahkan positif COVID-19 melalui saringan Brought In Dead (BID) di Hospital Tawau pada 27 Mei,” katanya yang juga merupakan jurucakap COVID-19 bagi negeri ini.

Susulan itu, saringan kontak rapat mengesan tiga kes positif pada 30 Mei, dan 21 kes baharu dikesan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 31 kes.

Aktiviti pengesanan kontak rapat dan mengenal pasti punca jangkitan masih giat dijalankan bagi kedua-dua kluster.

Sabah hari ini merekodkan pertambahan 259 kes positif COVID-19, dengan dua kes kematian direkodkan masing-masing dari daerah Tawau dan Kota Kinabalu.