KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang, yang dianggarkan bernilai RM154,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata kesemua yang berusia lingkungan 18 hingga 43 tahun itu ditahan dalam dua serbuan Op Acacia oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Selasa lepas.

Beliau berkata dalam serbuan pertama di sebuah kondominium di Taman Desa, di sini, polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing yang merupakan pasangan kekasih serta merampas dadah jenis heroin dan pil eramin5 berjumlah RM117,000, sebuah kereta jenis Mercedes-Benz, sebentuk cincin emas dan wang tunai RM1,200.

"Dalam serbuan kedua pada hari sama di tempat letak kereta di Jalan Imbi pula, polis menahan seorang lagi lelaki dan merampas syabu bernilai RM37,000 serta sebuah kereta jenis Toyota Camry.

"Sindiket yang disyaki aktif sejak dua bulan lepas itu menjadikan kondominium yang memiliki pengawal keselamatan sebagai tempat penyimpanan dadah untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmi berkata kesemua dadah yang boleh menampung penggunaan 20,000 penagih itu disyaki diperoleh daripada seorang pengedar tempatan di ibu negara.

Beliau berkata kesemua yang ditahan didapati tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai punca pendapatan.

"Dua lelaki itu masing-masing mempunyai 23 dan enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta positif terhadap dadah jenis morfin dan methamphetamine," katanya dan menambah kesemuanya direman hingga Selasa ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA