KLANG: Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendahului senarai 97 penerima Darjah dan Bintang Kebesaran serta pingat sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-78 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Tunku Azizah dikurniakan Darjah Kerabat Selangor (D.K. I) namun ia akan dilaksanakan dalam satu istiadat khas pada hari lain di Istana Alam Shah di sini.

Sementara itu, dalam istiadat yang berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah hari ini, Sultan Sharafuddin berkenan mengurniakan D.K kelas kedua (D.K.II) kepada Ahli Dewan di-Raja Selangor iaitu Tengku Indera Pahlawan Diraja, Tengku Datuk Setia Putra Alhaj Tengku Azman Shah Alhaj.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman mendahului penerima darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S), yang membawa gelaran Dato’ Seri, diikuti Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain, dan Pengarah Urusan YTL Power International Berhad, Datuk Yeoh Seok Hong.

Menyusuli penganugerahan itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim dan Perunding Urologist Pusat Perubatan Subang Jaya, Prof. Datuk Dr Tan Hui Meng dengan masing-masing dikurniakan Dato' Setia - Sultan Sharafuddin Idris Shah (S.S.I.S), yang membawa gelaran Dato' Setia.

Seramai sembilan individu menerima darjah Dato' Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S), yang membawa gelaran Dato’, termasuk Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah, dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim.