ANTARA pelbagai berita tempatan yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Jumaat, 29 Mei 2020.

1) Pelajar Malaysia yang mahu kembali ke Indonesia perlu patuhi prosedur kesihatan

Pelajar perubatan Malaysia yang pulang ke tanah air dan perlu kembali ke Indonesia untuk menduduki Ujian Kompetensi Mahasiswa Program Profesi Dokter (UKMPPD) perlu mematuhi prosedur kesihatan ketat yang ditetapkan termasuk memiliki sijil kesihatan.

2) Pengurusan sisa klinikal COVID-19 jadi keutamaan paling penting

Selepas COVID-19 mula dikesan di China pada akhir 2019, virus kejam itu bukan sahaja menjadi pandemik apabila dijangkiti berjuta-juta orang dan meragut lebih 360,000 nyawa sehingga kini di seluruh dunia, malah mencetuskan impak buruk sosio-ekonomi secara global.

3) Pembukaan sektor ekonomi bantu pertumbuhan KDNK negara - Tengku Zafrul

Pembukaan sektor ekonomi yang bermula 4 Mei lepas berjaya membantu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Begitupun, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sepantas mana ekonomi negara pulih bergantung kepada kepantasan negara mengatasi pandemik COVID-19.

4) 103 kes baharu, majoriti adalah kluster baharu pekerja asing

Sejumlah 103 kes baharu dilaporkan sepanjang 24 jam yang lalu sekaligus menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,732 kes. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 103 kes baharu, tujuh kes merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

5) KKM kesan kluster baharu pekerja pembersihan warga Bangladesh

Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti satu kluster baharu melibatkan pekerja asing warga Bangladesh di sebuah syarikat pembersihan. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga jam 12 tengah hari Jumaat, sebanyak 24 kes positif COVID-19 telah dilaporkan membabitkan kluster tersebut.

6) Tak boleh rentas negeri untuk temu duga kemasukan ke IPT - Ismail Sabri

Bakal mahasiswa tidak dibenarkan merentas negeri bagi menghadiri temu duga kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Beliau berkata, keadaan itu tidak menghalang proses kemasukan ke universiti atau IPT lain kerana temu duga masih boleh dijalankan secara dalam talian.

7) Rai Kaamatan dalam kepelbagaian kaedah komunikasi moden

Biarpun negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun sambutan Pesta Kaamatan bagi sebahagian warga Sabah masih boleh diraikan. Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, bagaimanapun sambutan itu perlu dirai dalam keadaan normal baharu bagi memutuskan rantaian COVID-19.

8) 13,230 individu PUS dirawat di 178 pusat kuarantin - Ismail Sabri

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia menyediakan sebanyak 270 pusat kuarantin untuk menempatkan individu di bawah pengawasan (PUS). Bagaimanapun, daripada jumlah itu, katanya hanya 178 pusat kuarantin sedang digunakan untuk menempatkan 13,230 PUS manakala 92 lagi berada dalam keadaan bersiap sedia.

9) Tidak perlu gelang khas untuk buktikan negatif COVID-19 - Ismail Sabri

Kerajaan tidak mewajibkan pemakaian gelang atau rantai khas bagi membuktikan seseorang itu negatif COVID-19 kerana surat pengesahan doktor sudah memadai. Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pemakaian aksesori itu tidak pernah diwajibkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mereka yang menjalani ujian atau saringan COVID-19.

10) Perangi COVID-19: Sarawak lancar aplikasi COVIDTrace dan Qmunity

Dua aplikasi telefon pintar bagi mengesan kontak rapat COVID-19 dilancarkan secara rasmi di Sarawak pada Jumaat. Dua aplikasi itu, COVIDTrace dan Qmunity dibangunkan Sarawak Multimedia Authority (sma) dan Sarawak Information Systems Sdn Bhd (Sains).