Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyifatkan hubungan keluarga dengan beberapa calon Barisan Nasional (BN) di daerah ini langsung tidak terjejas memandangkan pihaknya hanya tertumpu kepada perjuangan parti semata-mata.

Beliau berkata, tidak timbul isu tergores hati di sebalik perjuangan dan pendapat yang berlainan, malah Mohd Shafie turut menegaskan terdapat sempadan yang ditetapkan oleh mereka (ahli keluarga) dalam memperjuangkan agenda masing-masing.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini, Mohd Shafie akan menentang sepupunya Datuk Seri Nasir Sakaran di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N. 53 Senallang selain mahu mempertahankan kerusi Parlimen P. 189 Semporna yang disandangnya sebelum ini.

"Kita dalam Warisan akan bertembung dengan keluarga, dan sudah saya nyatakan, kita bertanding untuk negeri Sabah, bukan hanya memerintah. Kita ingin membela negeri Sabah. Saya bukan membela adik saya, bukan membela sepupu saya.

"Saya sayang kepada keluarga saya, tetap sayang, tetapi harapan orang miskin, kita selaku pemimpin jangan abaikan itu, semata-mata kerana ada adik saya," katanya.

Mohd Shafie mempunyai talian persaudaraan yang rapat dengan beberapa pemimpin politik dari BN di Sabah, termasuk adiknya, Datuk Yusuf Apdal yang bertanding di DUN N50 Lahad Datu.

Sementara itu, ditanya mengenai persiapan parti Warisan untuk PRU14, beliau mengakui bersyukur tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang proses penamaan calon pada Sabtu selepas mengambil kira beberapa kejadian di Semenanjung.

Kerusi Parlimen Semporna menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Mohd Shafie, Datuk Ramlee Marahaban (BN), Asmara Asmad (Harapan Rakyat) dan Abdul Nasir Abdul Raub (Pas).