ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 6 November 2021.

1. 99 maut, 100 cedera dalam letupan lori tangki minyak di Sierra Leone

Sekurang-kurangnya 99 orang terbunuh dan lebih 100 lagi cedera di ibu negara Sierra Leone pada lewat Jumaat apabila sebuah lori tangki minyak meletup selepas satu perlanggaran, kata pihak berkuasa tempatan.

2. 8 maut, ratusan cedera dalam rempuhan pada malam pembukaan festival muzik

Sekurang-kurangnya lapan maut dan ratusan lain cedera dalam insiden rempuhan pada malam pembukaan festival muzik anjuran rapper Travis Scott di Houston, Texas, Amerika Syarikat.

3. Malaysia, Australia bincang pembangunan vaksin, buka semula sempadan

Malaysia dan Australia bersetuju untuk memperluaskan kerjasama sedia ada bagi membangunkan vaksin menerusi akses kepada teknologi dan pengetahuan yang berkaitan.

4. Zynga melancarkan permainan Farmville 3 baharu di seluruh dunia

Pada Jumaat, Zynga Inc. (Nasdaq: ZNGA), sebuah peneraju dunia di dalam hiburan interaktif, mengumumkan pelancaran FarmVille 3 di seluruh dunia, edisi baharu yang menarik bagi francais ikonik mereka FarmVille. Permainan sosial bersimulasikan pertanian itu kini tersedia secara rasmi untuk dimuat turun pada peranti iOS dan Android di seluruh dunia, serta pada Mac M1.

5. Tidak suka pink, suami nekad roboh dapur warna kegemaran isteri

SEORANG wanita terpaksa berputih mata apabila dapur rumahnya yang dicat serba merah jambu dirobohkan suaminya sendiri yang tidak menyukai warna tersebut, lapor laman berita Suara.com.

6. Pfizer dakwa pil COVID-19 keluarannya mampu kurangkan kemasukan ke hospital

KAPSUL antiviral COVID dibangunkan pfizer menunjukkan ia berupaya mengurangkan kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan golongan rentan sehingga 89%.

7. Vaksin COVID-19: Costa Rica wajibkan suntikan ke atas kanak-kanak

COSTA Rica menjadi negara pertama di dunia yang mewajibkan vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak.

8. Vaksin COVID-19: Dua kumpuluan keluaran J&J dibenarkan penggunaan

PENTADBIRAN Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) membenarkan penggunaan dua lagi kumpulan vaksin COVID-19 dos tunggal Johnson & Johnson yang dikeluarkan di kilang Emergent Biosolutions di Baltimore yang sebelum ini dilaporkan menyebabkan pencemaran.

9. PBB desak pertempuran di Ethiopia dihentikan segera

MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) pada Jumaat mendesak pertempuran di Ethiopia dihentikan segera.

10. COP26: Biden tetapkan sasaran kurangkan kos hapus karbon dioksida

PENTADBIRAN Presiden Joe Biden pada Jumaat menetapkan sasaran untuk mengurangkan kos bagi menghapuskan karbon dioksida dari atmosfera.