ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 1 Ogos 2022.

1. Kapal pertama bawa muatan bijirin berlepas dari pelabuhan Ukraine pada Isnin

Pelabuhan Odesa pada Isnin menyaksikan kapal pertama yang sarat dengan bijirin berlepas dari pelabuhan itu, seperti dalam perjanjian eksport bijirin yang ditandatangani antara Turkiye, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rusia dan Ukraine baru-baru ini.

2. New Zealand buka sempadan sepenuhnya kepada semua negara

New Zealand membuka semula sempadan sepenuhnya kepada pelawat dari seluruh dunia buat kali pertama sejak wabak COVID-19 melanda sejak Mac 2020.

3. Calon PM Britain | Sunak ikrar potong 20% cukai pendapatan

Calon Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak berikrar untuk mengurangkan kadar asas cukai pendapatan sebanyak 20 peratus menjelang 2029.

4. Afghanistan terima bantuan kemanusiaan dalam bentuk wang tunai AS$40 juta

Afghanistan menerima bantuan kemanusiaan baharu dalam bentuk wang tunai berjumlah AS$40 juta dan didepositkan ke sebuah bank perdagangan negara itu, lapor Xinhua memetik bank pusat dalam satu kenyataan pada Isnin.

5. Sudan catat kes cacar monyet pertama

Sudan pada Ahad mengesahkan kes pertama cacar monyet di negara itu.

6. Konflik Myanmar | Junta lanjut perintah darurat 6 bulan lagi

Junta tentera Myanmar melanjutkan perintah darurat selama enam bulan lagi berikutan pengumuman oleh pemimpinnya, Jeneral Min Aung Hlaing.

7. Henti guna gas untuk jana elektrik - Menteri Jerman

Jerman harus berhenti menggunakan gas untuk menjana tenaga elektrik bagi mengelak daripada menambah krisis tenaga, kata Menteri Kewangan Christian Lindner pada Ahad.

8. Ibadah Umrah | Arab Saudi keluarkan lebih 70 juta permit

Lebih 70 juta permit dikeluarkan untuk menunaikan umrah di Masjidil Haram dan bersolat di Rawdah Sharaf dekat Masjid Nabawi di Madinah pada musim terakhir tahun 1443 hijrah.

9. Filipina berkabung atas kematian bekas Presiden Fidel Ramos

Filipina pada Ahad berkabung atas pemergian Presidennya yang ke-12, Fidel V. Ramos, 94, lapor media negara itu.

10. Pengusaha pelancongan Indonesia protes kenaikan harga masuk ke Taman Negara Komodo

Ratusan pengusaha perniagaan berteraskan pelancongan di Taman Negara Komodo memulakan gerakan protes selama sebulan bermula Isnin (1 Ogos) selepas pemerintah Indonesia mengenakan kenaikan harga yang tinggi bagi kemasukan ke santuari reptilia purba itu.