Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa mengesahkan parti itu telah menghantar notis tuntutan saman kepada dua bekas pemimpin UMNO yang keluar parti tahun lalu.

Menurut Annuar, mereka ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Bagai Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

"Peguam-peguam kita telah hantar writ saman kepada mereka. Satu Mas Ermieyati, Ahli Parlimen Masjid Tanah dan seorang lagi Bagan Serai (Noor Azmi)," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Mas Ermieyati dan Noor Azmi merupakan antara Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang meninggalkan parti dan menjadi calon Bebas sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

September lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan menghantar writ saman menuntut bayaran balik yang melibatkan kos ganti rugi dari pemimpinnya yang keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas.

Presiden UMNO itu berkata, pihak berkenaan perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Bagaimanapun, Tan Sri Mohd Isa Samad menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid itu sebagai gertakan semata-mata kerana katanya, UMNO tidak ada asas untuk menyaman ahli atau pemimpin yang meninggalkan parti.

Mengulas mengenai desas desus enam Ahli Parlimen BN yang keluar parti Disember lalu akan membuat pusingan-U, Annuar berkata beliau masih belum menerima permohonan rasmi daripada mereka.

"Belum sampai di meja saya (borang pemohonan untuk sertai UMNO semula). Walaupun saya ada dengar khabar secara tak rasmi.

"Sebagai Setiausaha Agung, saya tidak boleh komen sehingga semuanya sah. Jadi kalau mahukan pengesahan, lebih elok jika bertanya kepada orang-orang berkenaan," tambahnya.

Enam Ahli Parlimen yang kini menjadi Ahli Parlimen Bebas itu meninggalkan UMNO pada 14 Dis lalu.

Mereka ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Seri Ikmal Hisham (Tanah Merah) dan Datuk Mohamad Fasiah (Sabak Bernam).