Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyiasat kes Tabung Haji (TH) sekiranya penyelewengan melibatkan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, bagaimanapun jika penelitian maklumat mendapati kes itu bersabit akta lain maka SPRM akan menyerahkan kepada pihak yang berkenaan untuk membuat siasatan.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa diminta mengulas mengenai dakwaan bahawa pengurusan terdahulu TH melanggar Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dalam pemberian hibah kepada pendeposit sejak 2014.

Dalam pendedahannya semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata keadaan itu menyebabkan TH mengalami defisit RM4.1 bilion.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata SPRM akan melakukan siasatan sekiranya ada pihak membuat laporan atau menerima maklumat daripada sumber.

Sementara itu, ditanya mengenai pertindihan siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di antara SPRM dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Mohd Shukri berkata PAC tidak mempunyai kuasa untuk membuat pertuduhan di mahkamah.

"PAC tiada kuasa untuk menuduh (membuat pendakwaan) sesebuah pihak, dia hanya jalankan siasatan di bawah bidang kuasa dia. SPRM pula cuma menjalankan siasatan berdasarkan bidang kuasa SPRM," katanya.

Beliau juga berkata ada kemungkinan kedua-dua pihak akan memperoleh dapatan yang sama hasil siasatan tersebut namun berbeza dengan PAC, SPRM akan membawa dapatan berkenaan ke mahkamah.