BAYAN LEPAS: Padah beraksi ala ‘Superman’ di atas jalan raya, lima samseng jalanan ditahan selepas menunggang secara berbahaya di Jalan Tengah Bayan Baru - Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.

Kesemua penunggang motosikal terbabit ditahan dalam Op Samseng Jalanan yang bermula pukul 12 tengah malam sehingga 5 pagi Sabtu

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya, penunggang motosikal berkenaan melakukan aksi lagak ngeri menunggang motosikal secara zig zag dan beraksi 'Superman' yang jelas berbahaya kepada diri mereka dan pengguna jalan raya yang lain.

"Lima lelaki telah ditahan di bawah sek 42 APJ 1987 dan sebuah motosikal disita manakala sebanyak 22 keping saman dikeluarkan atas lain-lain kesalahan," kata kenyataan tersebut.

Kesemua mereka yang melakukan aksi menunggang secara berbahaya serta melulu dibawa ke Balai Trafik Bayan Lepas dan motosikal mereka juga disita untuk tindakan selanjutnya.

Jelas kenyataan tersebut, polis akan sentiasa memantau aktiviti samseng jalanan setiap masa terutama pada hujung minggu bagi mengekang aktiviti samseng jalanan.